CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, July 28, 2008

AUKU...

Lihat pindaan AUKU dalam skop lebih luas
PASIR GUDANG 27 Julai - Semua pihak perlu melihat pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dalam skop yang lebih luas dan tidak hanya tertumpu kepada Seksyen 15 dalam akta itu sahaja.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, AUKU adalah akta yang memberi peruntukan kepada banyak perkara meliputi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti dan kolej serta aspek lain.
"Bagaimanapun, orang lebih berminat terhadap Seksyen 15 AUKU yang memberi kelonggaran kepada pelajar untuk meneliti dan menilai sesuatu perkara agar mereka dapat membuat keputusan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis pelancaran Fiesta Futsal Merdeka 2008 Pasir Gudang di sini hari ini.
Seksyen 15 AUKU melarang pelajar menyertai persatuan, pertubuhan dan sebagainya kecuali diperuntukkan dalam perlembagaan atau diluluskan oleh Naib Canselor universiti terbabit.
Beliau mengulas mengenai pindaan AUKU yang memberi lebih kebebasan pelajar dan kuasa autonomi kepada universiti, selepas dibentang di Dewan Rakyat minggu lalu.
Selepas pindaan diluluskan, kesalahan di bawah akta itu bukan lagi perbuatan jenayah malah pelajar juga diberi kelonggaran menganjurkan debat melibatkan pihak luar dari universiti.
Mohamed Khaled berkata, pindaan terhadap seksyen terpaksa dibuat kerana pada waktu ini pelajar sentiasa akan terdedah kepada banyak sumber maklumat semasa menuntut ilmu.
"Kalau kita tidak buat begitu (pinda) pun, mereka memperolehinya daripada Internet, sebab itu kita melakukannya (luluskan pindaan) supaya ia dapat memelihara keadaan.
"Ini penting supaya kita boleh tahu apa tajuk yang diperkatakan dan sejauh mana mereka memahaminya kerana pokoknya, pelajar akan dapat menjana pemikiran mereka dengan lebih meluas," katanya.

0 comments: